PULAU REDANG merupakan pulau terbesar di Terengganu. Kebanyakkan para pelancong suka bercuti di Pulau ini kerana tempatnya yang strategik kerana hanya 45 km terletak dari Bandaraya Kuala Terengganu. Rumpun Pulau Redang mempunyai sembilan pulau lain termasuk Pulau Lima, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Ling, Pulau Paku Besar, Pulau Kerengga Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Ekor Tebu, Pulau Pinang dan Pulau Redang. Rumpunan pulau ini menjanjikan pelbagai aktiviti dan panorama menarik kepada para pengunjung seperti ‘snorkelling’, ‘scuba-diving’, dan keindahan Taman Laut yang dipenuhi dengan hidupan marin seperti ikan, penyu dan batu karang.
Pantai Pasir Panjang adalah pantai yang menjanjikan keindahan memukau di Pulau Redang yang terletak di timur laut pulau. Pantai Pasir Panjang juga merupakan kawasan pendaratan penyu untuk bertelur pada musimnya. Terdapat beberapa tempat penjagaan penyu yang dibina di kawasan ini supaya ekosistem dan habitat penyu ini tidak terancam. Kebanyakan para pengunjung pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melihat penyu bertelur apabila bercuti di pulau ini.
Taman Laut Redang adalah antara taman laut tercantik di dunia. Menghimpunkan khazanah laut berusia ribuan tahun yang sentiasa dijaga rapi keasliannya daripada tercemar dan terhakis dimamah perubahan iklim dunia. Pengunjung boleh mengalami dan menikmati sendiri keindahannya dengan melakukan aktiviti snorkelling dan diving di sekitar kawasan taman laut. Kecantikan alam ciptaan Tuhan ini boleh merehatkan minda yang kusut dan boleh menjadi terapi diri.
CARA PERJALANAN KE PULAU REDANG
Cara lain ialah untuk pergi ke Redang melalui feri dari Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu ataupun Jeti Merang. Feri-feri yang dimiliki oleh resort biasanya akan mengangkut para penumpang dari Jeti Merang ke Redang. Walau bagaimanapun, resort-resort tertentu menggunakan feri yang berlepas dari Jeti Shahbandar ke Jeti Kampung di Redang. Selepas itu, para penumpang akan menaiki bot lain dan menuju ke resort masing-masing. Pakej-pakej yang ditawarkan oleh resort biasanya sudah merangkumi tiket feri ini.
Jeti Shahbandar terletak di pusat bandar Kuala Terengganu dan bertentangan dengan Pusat Informasi Pelancong serta Pejabat Pos Kuala Terengganu. Ia juga berhampiran dengan pasar, kedai-kedai, warung-warung makanan serta tarikan-tarikan pelancongan seperti Bukit Puteri, Istana Maziah dan Kampung Cina.
Perjalanan kaki ke Jeti Shahbandar dari Terminal Bas Kuala Terengganu ialah kira-kira 15 minit manakala perjalanan melalui kereta dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke Jeti Shahbandar ialah lebih kurang 25 minit. Perjalanan bot dari Jeti Shahbandar ke Pulau Redang ialah kira-kira 1.5 jam.
Jeti Shahbandar terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin.
Alamat penuh untuk Jeti Shahbandar:
Jeti Pelancongan Shahbandar,
Jalan Sultan Zainal Abidin,
20670 Kuala Terengganu,
Terengganu.